Words from the Pearl Island

Words from the Pearl Island

Wednesday, March 12, 2008

30 NGO India mahu Samy dilantik Senator



BENTONG 11 Mac – Sebanyak 30 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang mewakili masyarakat India di negeri ini mahu Presiden MIC, Datuk Seri S. Samy Vellu dilantik sebagai Senator bagi membolehkannya kekal dalam Kabinet.
Penyelaras kumpulan NGO itu, S. Sivalingam menegaskan, kegagalan Samy Vellu mempertahankan kerusi Parlimen Sungai Siput pada Pilihan Raya Umum Ke-12 Sabtu lalu bukan petunjuk penolakan kaum India terhadap bekas Menteri Kerja Raya itu.
“Kejutan di Sungai Siput tidak mewakili kaum India kerana pengundi di kawasan itu terdiri daripada pelbagai kaum,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Antara NGO yang hadir termasuk Kelab Tamil Bell, Persatuan Taman-Taman Perumahan Karak, dewan-dewan perniagaan dan persatuan-persatuan masyarakat India Pahang.
Pada pilihan raya umum baru-baru ini, Samy Vellu yang memperoleh 14,637 undi tewas kepada calon Parti Keadilan Rakyat (PKR), Dr. Michael Jeyakumar Devaraj yang mendapat 16,458 undi.
Sivalingam berkata, kekalahan Samy Vellu dipengaruhi pelbagai faktor termasuk muslihat, salah faham, masalah setempat dan emosi.
Menurut beliau, peranan media juga memburukkan keadaan apabila media kerap melaporkan kelemahan di Kementerian Kerja Raya sejak dua tahun kebelakangan ini.
“Kelemahan-kelemahan kementerian lain tidak pernah ditonjolkan dan ini membuktikan Samy Vellu sengaja dipermain-mainkan,” jelasnya.
Sehubungan itu, Sivalingam menggesa pucuk pimpinan Barisan Nasional (BN) tidak menjadikan faktor kekalahan sebagai alasan untuk mengetepikan Samy Vellu daripada barisan Kabinet yang akan dibentuk dalam tempoh terdekat ini.
Beliau juga mencadangkan pucuk pimpinan BN mengadakan mesyuarat dengan semua pemimpin parti komponen terlebih dahulu sebelum memutuskan tarikh pembubaran Parlimen dalam pilihan raya umum akan datang.
Selain itu, beliau meminta wakil-wakil rakyat pembangkang daripada kaum India menunaikan segala janji yang mereka taburkan ketika berkempen pada Pilihan Raya Umum Ke-12.
“Buktikan keberkesanan anda sebagai wakil rakyat. Dulu anda bertanya, kini tiba masanya anda menjawab segala persoalan yang akan timbul,” kata Sivalingam.

P.S.Maybe we have to prepare another petition to protest this. Do you'll think agree with me? Pls comment.

No comments: